Pages

Saturday, January 2, 2010

merokok hanya desakan psikologikal



Oleh Khairul Anuar Masuan

Enam faktor rokok jadi tabiat negatif 'rosakkan' masyarakat sejak dulu

BARU-BARU ini kerajaan mengumumkan harga minimum sebatang rokok, iaitu 32 sen dan sekotak RM6.40. Ini mungkin satu usaha baik untuk tidak menggalakkan orang ramai merokok. Apa pun mekanismenya, merokok adalah satu tabiat dan ia boleh dibincangkan dengan panjang lebar mengikut kajian psikologi. Apabila diperhatikan kembali tabiat merokok, ia semata-mata berkisar kepada kehendak songsang psikologikal, dan bukannya atas sebab lain. Selebih pula barulah dikaitkan dengan bahan kimia yang wujud dalam rokok menjadikan seseorang itu ketagih.

Sebelum meneruskan perbincangan, ada baiknya kita telusuri sedikit sejarah tembakau. Sejarah tembakau bermula 6,000 tahun Sebelum Masihi di Amerika Selatan. Ia tersebar ke seluruh dunia selepas Christopher Columbus menjejakkan kaki di Pulau Bahamas pada 12 Oktober 1492. Ketika itu didapati orang asli Pulau Bahamas, baik lelaki atau perempuan merokok dan menjadikan mereka tidak mengantuk dan bertenaga. Lanjutan daripada itu, seorang Duta Perancis ke Portugal, Jean Nicot menamakan tanaman pelik ini sebagai Herba Nicotina sempena nama beliau. Kedangkalan orang Eropah terhadap tembakau menyebabkan mereka menganggap tembakau sebagai ubat. Malah, pada 1560, Jean Nicot memberikan bonda Raja Perancis, Catherine de Medici, rokok sebagai ubat menyembuhkan migrain. Ia sekarang digelar Herba Panajeca atau ubat herba.

Berita mengenai kuasa penyembuhan ubat ini tersebar luas di Eropah dan Sir Francis Drake mula menghisap tembakau dan seterusnya ia menjadi popular di kalangan bangsawan Inggeris waktu itu. Ia menjadi satu lambang status bagi orang Eropah. Ia kemudian merebak ke Turki dan di sini ia menjadi lebih dekat kepada orang awam. Tetapi ia betul-betul menjadi budaya popular di Amerika Syarikat (AS). Keupayaan ekonomi AS menjadikan ia popular dan tertubuhlah beberapa syarikat yang memiliki jenama besar. Kekuatan pengaruh iklan digunakan sebaiknya, dan seperti penduduk asal tanaman tembakau, Pulau Bahamas, lelaki dan perempuan juga merokok pada sekitar 1900. Kadar remaja perempuan AS merokok meningkat berkali ganda. Namun, iklan rokok terbaik ialah ketika Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, apabila rokok diberikan percuma bersama dengan bekalan tentera. Ia diakui menjadikan tabiat rokok meledak dengan tinggi.

Melalui sejarah ringkas ini, kita boleh mengekstrak beberapa faktor penting yang menjadikan seseorang itu perokok dan juga sukar untuk dibendung. Sayugia diingat kita mengehadkan perbincangan kepada faktor psikologi saja meskipun ada faktor lain yang tidak boleh dikesampingkan, contohnya, ekonomi. Dari nilai sejarah yang boleh dikatakan dari dulu cerita rokok ini tetap sama, cuma yang berbeza ialah orangnya. Antara penyebabnya ialah, pertama budaya, kedua ia dianggap ubat, ketiga lambang status, keempat semangat kekitaan atau esprit de corp, kelima tekanan perasaan, dan yang keenam faktor iklan yang membabitkan pujukan secara subliminal. Faktor inilah yang sering menjadi halangan besar kepada kempen antirokok. Ini mungkin cara kita menanganinya tidak kena pada sasaran psikologi yang dikaitkan tadi.

Kita akan membincangkan artikel ini dengan menggunakan dua jenis kaca mata atau filter supaya lebih faham. Pertama dari segi kaca mata de facto dan kedua kaca mata de jure. De facto bermakna sesuatu itu wujud secara realiti dan diterima semua orang dan de jure pula sesuatu diterima secara senyap-senyap atau oleh sekumpulan orang saja.

Faktor budaya

(Sebelum kita mula, kita melihat dari sudut budaya saja dan jangan lari konteks). Budaya hanya wujud selepas wujud tabiat yang kekal di dalam sesuatu masyarakat. Budaya tidak akan wujud tanpa tabiat kerana tabiat adalah asas budaya. Jika sesuatu tabiat diterima masyarakat sebagai sebahagian gejala masyarakat, maka setiap perlakuan perokok (meskipun dipandang sumbang) tetap diterima. Mengikut sejarah, alam Nusantara mengadaptasikan rokok dengan keretek seawal 1890-an. Tidak hairanlah jika ada orang tua kita, baik lelaki atau perempuan yang sudah biasa dengan rokok daun. Jadi ini menjadikan satu budaya yang diterima sehingga sekarang. Lebih menarik lagi, jika ditanya sejak bila mula merokok, ada mak cik kita akan menjawab: "Entahlah nak, sejak perawan lagi agaknya." Cuba perhatikan gejala merokok sekarang bermula bila? Dari segi de facto semua orang tidak setuju dengan merokok tetapi apabila kita berdepan dengan orang yang merokok kita akan menerima secara de jure.



Faktor mitos perubatan

Rokok kerap disalah erti sebagai ubat. Dari segi sejarah ia disalah anggap sebagai ubat untuk lebih kurang 36 jenis penyakit. Namun sekarang ia tidak dianggap ubat secara kolektif kemasyarakatan atau secara de facto; tetapi dianggap ubat oleh si perokok dan oleh sekumpulan orang atau de jure. Berapa ramai yang menggunakan rokok sebagai alasan menghalau nyamuk, mengurangkan mengantuk ketika memandu, mengurangkan bau tidak enak di tandas, dan pelbagai lagi. Jika ada kenduri kahwin penanggah mendapat subsidi rokok misalnya. Jadi secara de jure ia diterima sekelompok orang atau pada sesuatu peristiwa. Sekarang ia bukannya isu rokok boleh menjadi ubat tetapi rokok sebagai faktor de jure kepada perokok.

Faktor lambang status

Bangsawan Inggeris menggunakan tabiat merokok sebagai alat membesarkan kebangsawanan mereka. Merokok dianggap sebagai satu status selepas mendapat 'lesen.' Berapa ramai perokok yang pastinya akan ingat bila dia mendapat lesen merokok daripada kedua orang tua mereka (dan pemberian lesen itu pun dengan rasa menyampah). Kepada anak remaja pula merokok itu akan mendapat tempat di dalam subbudaya mereka sendiri. Merokok dianggap 'cool' atau hebat di kalangan taulan. Mereka sendiri sedar bahawa merokok tidak baik dari segi de facto tetapi dari segi de jure ia dianggap sangat baik. Di dalam subbudaya mereka dipandang hebat itu penting dan jalan mudah ialah dengan merokok. Ini sama juga dengan merempit, mereka tahu itu salah tetapi dari segi de jurenya ia sebagai pengukuhan lambang status. Cuba bayangkan pula betapa seorang remaja bawah umur yang berjaya beli sekotak rokok. Betapa besarnya ego dia.

Faktor semangat kekitaan atau esprit de corp

Pada perang dunia rokok diberikan secara percuma dan tabiat merokok menjadi tanda bahawa mereka adalah satu pasukan. Jadi rokok menjadi alat penting komunikasi non verbal. Melalui tabiat ini setiap anggota berasakan mereka adalah sepasukan. Bayangkan satu insiden si perokok tiada pemetik api. Sudah pasti ada orang yang menghulurkan pemetik api. Perbuatan ini sudah cukup menggambarkan betapa kuatnya semangat 'kekitaan' mereka. Itu sebabnya, ada perokok yang mengatakan merokok boleh dapat kawan ramai walau berbeza pendapat. Sekarang ini tidak perlulah penulis merungkaikan lagi mengenai konsep de facto dan de jure lagi. Kerana ia jelas menunjukkan bahawa merokok hanyalah alasan psikologikal semata-mata.

Faktor tekanan perasaan

Kekalkan kefahaman anda mengenai de facto dan de jure, dan kita terus berbincang mengenai faktor tekanan perasaan. Tekanan perasaan ini pula berpunca dari pelbagai faktor lain contohnya hilang mata pencarian, putus cinta, berhutang, dan pelbagai lagi. Tekanan ini menjadikan seseorang itu hilang punca dan mengambil jalan dengan merokok sebagai teman 'sejati.' Seseorang itu menggunakan alasan tekanan perasaan sebagai modal untuk mewajarkan tabiat merokok. Kewajaran itu tidak lari daripada konsep de jure.

Faktor pengaruh iklan

Faktor keenam iaitu pengaruh iklan yang sememang dicipta untuk mempengaruhi orang secara subliminal atau 'bawah sedar.' Tentu kita masih ingat kata-kata ini: "Falsafah kami adalah mudah... stail, kualiti, kecemerlangan". Ia terus melekat di dalam ingatan kita sehingga hari ini dan dirasakan seperti semalam saja iklan itu disiarkan, walhal ia sudah hampir 20 tahun yang lalu. Kekuatan iklan inilah yang boleh mempengaruhi seseorang untuk merokok. Lebih bahaya iklan menggunakan segala faktor di atas untuk memanipulasi tingkah laku seseorang untuk membeli rokok daripada budaya, ubat, status, kekitaan, dan gambaran alami tekanan. Ketika penulis di AS dulu timbul isu di sana pihak pembuat rokok membuat iklan menghalang remaja merokok. Tetapi jika dilihat grafik dan tema iklan itu bahawa ia lebih ditujukan kepada kanak-kanak tidak lebih tiga tahun. Walhal, isu sebenar ialah remaja. Syarikat pembuat rokok terbabit berjaya secara subliminal dengan mengatakan rokok tidak baik untuk anak kecil tetapi kepada remaja dibolehkan!

Sebenarnya secara psikologikal semua faktor penyebab di atas boleh diatasi iaitu dengan motivasi diri yang kuat, kecuali tekanan perasaan. Jika seseorang itu mengalami stres atau kemurungan/depresi, maka kemungkinan mengulangi tabiat merokok (relapse) adalah sangat tinggi. Perokok ini mestilah mendapatkan bantuan psikologikal atau menemui kaunselor.

Ada tiga cara yang boleh digunakan untuk berhenti merokok iaitu, cold turkey, berperingkat, dan menggunakan gentian rokok. Cold turkey bermaksud berhenti serta-merta. Ia memerlukan psikologi yang amat kuat dan seseorang itu mestilah boleh melawan semua faktor de jure yang menghalang. Terutama orang yang sememangnya kenal anda merokok. Peliknya ada orang yang tidak merokok seolah-olah mencemuh anda apabila anda berhenti merokok.

Sayugia diingat anda hilang segala 'kuasa' de jure anda. Kedua dengan secara berperingkat. Ia mestilah dilakukan dengan menetapkan tarikh akhir sasaran berhenti merokok. Jika tidak hanya tinggal harapan. Terakhir ialah, dengan menggunakan alat gentian iaitu berbentuk tampalan atau lozenge. Mungkin ia efektif tetapi agak mahal harganya.

Kesimpulannya, merokok adalah gejala tabiat manusia. Manusia akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mewajarkan menghisap rokok dan sebalik. Pilihan di tangan kita.

Penulis ialah Ketua Perunding, K&A Applied Psychology Consultancy
di petik dari berita minggu 3 januari 2009

0 comments:

Post a Comment